Penternakan Akuakultur Mampu Atasi Kekurangan Bekalan Ikan

Masalah kekurangan bekalan ikan yang meruncing sejak akhir-akhir ini boleh diatasi sekiranya nelayan di negara ini mengusahakan penternakan ikan secara akuakultur, kata Pengarah Bahagian Pemasaran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Mohari Mohd Tamin.
Beliau berkata industri akuakultur mampu meningkatkan kuantiti bekalan ikan termasuk ketika musim tengkujuh.

“Nelayan boleh menghubungi atau mencari pihak berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai industri ini,” katanya kepada Bernama.

Akuakultur merupakan proses menternak spesies hidupan (haiwan dan tumbuhan) air tawar, air payau atau air masin dalam persekitaran yang terkawal.

Dua hari lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Samad berkata negara dijangka berdepan krisis bekalan ikan yang serius berikutan kemerosotan hasil pendaratan ikan selain permintaan tinggi tangkapan hasil laut itu daripada pengusaha restoran.

Mohari berkata negara kini tidak boleh mengharapkan bekalan import ikan sepenuhnya memandangkan negara pengeksport seperti Thailand, Myanmar dan Indonesia turut mengalami masalah yang serupa.

“Sektor pendaratan ikan laut negara hanya 75 peratus dan selebihnya kita terpaksa import. Namun bekalan import juga turun kerana negara pengeksport hanya mempunyai bekalan terhad untuk pasaran mereka,” katanya.

Walaupun mendapat subsidi, nelayan yang menggunakan bot-bot kecil yang menyumbang 80 peratus kepada pendaratan ikan di negara ini, tidak mampu ke laut ketika musim tengkujuh kerana faktor cuaca yang tidak mengizinkan.

Mohari berkata 20 peratus lagi pendaratan yang disumbangkan oleh bot-bot besar (laut dalam) juga berdepan risiko kesukaran mendaratkan ikan kerana terpaksa meredah hujan dan ribut petir ketika musim tengkujuh.

Saranan beliau itu dipersetujui oleh seorang ahli persatuan nelayan yang enggan namanya disiarkan, yang berpendapat industri akuakultur adalah stabil dan menguntungkan nelayan yang terbabit.

“Musim tengkujuh tidak dapat dielakkan, jadi nelayan patut menceburi industri ini untuk menambah bekalan ikan yang berkurangan ini,” katanya.

Beliau berkata masalah kekurangan ikan boleh menyebabkan harga ikan naik mendadak dan masyarakat mungkin terpaksa menukar selera daripada makan ikan laut kepada ikan air tawar, daging atau ayam.

Antara kawasan yang boleh dimajukan untuk akuakultur adalah tasik, bekas lombong, empangan, kolam konkrit, muara sungai dan laut serta akuarium.

Spesies ikan air tawar yang boleh diternak secara akuakultur ialah tilapia, keli, baung, patin, temoleh, jelawat, lampam, karp, haruan selain udang galah dan ikan hiasan manakala spesies ikan air payau dan laut ialah kerapu, siakap dan jenahak selain udang harimau, tiram dan siput sudu.

You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Penternakan Akuakultur Mampu Atasi Kekurangan Bekalan Ikan”

  1. Interesting website, i have bookmarked your site for future referrence :)

Leave a Reply