Mardi Diminta Sediakan Modul Pembangunan Kepimpinan Pertanian

KEMAMAN, 15 Nov (Bernama) — Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meminta pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menyediakan satu Modul Pembangunan Kepimpinan Pertanian untuk menjadikan pertanian sebagai budaya di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata modul tersebut haruslah dibuat secara menyeluruh yang meliputi semua peringkat bermula dari sekolah rendah, universiti hingga ke peringkat dewasa.

“Kalau masyarakat dapat menanam sendiri sayuran seperti cili, sawi dan sebagainya maka akan wujud pula peniaga-peniaga yang akan membekalkan benih tanaman, kaedah fertigasi dapat dikembangkan dan akan wujud pula industri baharu iaitu ‘Do It Yourself Agriculture’ (DIYA),” katanya pada sidang media selepas merasmikan program School of Green Shoots di Bandar Chukai di sini Ahad.

Ahmad Shabery berkata menerusi DIYA itu juga akan membentuk hobi pertanian dalam kalangan masyarakat yang mampu menjadi punca pendapatan dan akhirnya akan dapat mengelakkan kebergantungan negara kepada sayuran import.

“Untuk menjadikan perkara ini satu realiti, kita mesti bangunkan kepimpinan melalui pertanian dan mengajak orang ramai menyertai bidang ini.

“Saya difahamkan hanya 15 peratus orang muda yang berumur bawah 40 tahun menceburi bidang pertanian, penternakan dan nelayan sedangkan selebihnya adalah mereka yang berumur lebih 60 tahun ke atas,” katanya.

Ahmad Shabery berkata pihaknya akan meningkatkan jumlah penyertaan golongan muda dalam bidang ini melalui bajet baharu yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada pembentangan Bajet 2016 lalu, sebanyak RM90 juta diperuntukkan kerajaan kepada generasi belia untuk program pembangunan agropreneur muda.

– BERNAMA

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply