Siaran Media : Program Azam Tani 2010 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

Khamis, 22 Julai 2010 – Y.B. Senator Dato’ Sri Shahrizat binti Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyerahkan peruntukan sebanyak RM40 juta kepada Y.B. Datuk Seri Noh bin Haji Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) pada jam 3.00 petang bertempat di Wisma Tani Putrajaya bagi pelaksanaan projek AZAM TANI bagi tahun 2010.

Projek Azam Tani akan dilaksanakan oleh MOA berdasar kepada senarai nama yang diserahkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) seperti mana yang telah dipersetujui di dalam sesi taklimat NKRA Rakyat Berpendapatan Rendah yang diberikan oleh KPWKM pada 10 Mac 2010. Sehingga kini, MOA telah menerima senarai daripada KPWKM sebanyak 747 peserta miskin tegar dari lapan negeri di Semenanjung Malaysia. Berdasarkan kepada semakan yang dibuat, kedudukan terkini peserta yang layak menerima projek AZAM TANI adalah seramai 359 peserta miskin tegar dan 92 peserta miskin.

Projek AZAM TANI telah dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sebagai Project Champion di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia. Selaras dengan peranan sebagai Project Champion, Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani akan membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan mereka melalui pemberian bantuan projek peningkatan ekonomi di dalam sektor pertanian dan industri asas tani.

Di bawah projek ini, MOA akan memberikan bantuan berbentuk projek peningkatan ekonomi bernilai maksima RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap peserta dari senarai eKasih yang terdiri dari golongan miskin tegar dan miskin.

Projek peningkatan ekonomi ini adalah projek-projek yang berbentuk Quick Win iaitu yang mendatangkan hasil yang cepat diantara tiga (3) hingga enam (6) bulan pelaksanaannya. Aktiviti-aktiviti yang terlibat di bawah program ini adalah projek-projek yang berasaskan tanaman, ternakan, perikanan, pemprosesan, perniagaan hasil tani dan kemudahan pemasaran.

Projek AZAM Tani akan dilaksana oleh 11 jabatan dan agensi MOA yang terdiri daripada Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Lembaga Pertubuhan Pelandang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Institut Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan TEKUN Nasional.

Projek ini akan dilaksanakan dengan kaedah berkelompok ataupun individu dan diberi berdasar kepada minat, keupayaan dan kemahiran peserta. Projek ini diberikan kepada peserta secara berpakej yang merangkumi:

  • Bantuan projek bernilai maksima RM10,000 atau RM15,000 bagi setiap peserta yang digunakan untuk penyediaan premis dan infrastruktur, benih-benih ternakan dan tanaman, bahan mentah, mesin, peralatan dan sebagainya yang diperlukan bagi melaksanakan projek.
  • Latihan pembangunan modal insan dan latihan teknikal.
  • Kemudahan dan sokongan pemasaran.
  • Pemantauan dan bimbingan oleh jabatan dan agensi pelaksana yang berterusan bagi memastikan daya tahan dan daya maju projek.

Projek ini diharapkan dapat membantu kerajaan mencapai matlamat supaya kemiskinan tegar dibasmi pada akhir bulan Disember 2010 dan kadar kemiskinan disasarkan untuk dikurangkan kepada 2.8% pada akhir bulan Disember 2010.

You can leave a response, or trackback from your own site.

2 Responses to “Siaran Media : Program Azam Tani 2010 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani”

  1. MOHD SAZALI says:

    SALAM…graduan yang masih menganggur…ingin mencari peluang perniagaan…ada kekosongan lagi x utk program azam tani atau ape2 progam yang mempunyai bantuan dr kerajaan…sy ade jin dgn PUNB..tp lpas 6 bulan kusus..pinjaman tidak diberi kerana bidang sy ambil bnyk maslah…so…sekarang masih menganggur mencari pluang yang ade…mohon pertolongan..0174379626..sazalitq

  2. Hazirah Hashim says:

    Salam Sejahtera,
    Saya Hazirah Hashim dari Universiti Putra Malaysia. Saya berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi berkenaan dengan projek AZAM TANI ini. Boleh saya tahu, pada siapa saya perlu berhubung nanti?
    Sekian, terima kasih.

Leave a Reply