Benih Padi Baru Dijangka Atasi Kerugian Hampir RM100 Juta Akibat ‘Padi Angin’

Dua jenis benih padi baru yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dijangka dapat mangatasi masalah ‘padi angin’ yang menyebabkan negara kerugian hampir RM100 juta semusim.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata benih padi MR220CL1 dan MR220CL2 itu adalah hasil penyelidikan hampir tujuh tahun oleh Mardi dan sebuah syarikat bahan kimia, BASF.

“Masalah padi angin menjadi masalah besar kepada pesawah. Saya difahamkan akibat padi angin negara kerugian RM90 juta semusim berdasarkan kajian 2004.

“Sekarang mungkin hampir RM100 juta. Padi angin ini mengakibatkan padi menjadi ringan dan mudah lerai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan benih padi baru itu di sini hari ini.

Noh berkata untuk permulaan benih MR220CL1 dan MR220CL2 akan ditanam di kawasan Felcra di Perak dan akan diguna di seluruh negara sekiranya hasil padi agensi padi itu meningkat.

Dijangka penggunaan benih baru ini boleh menghasilkan antara lima dan lapan tan metrik padi sehektar, katanya.

Noh berkata negara ini juga sedang berbincang dengan sebuah negara jiran yang telah menyatakan minat untuk menggunakan benih padi itu di tempat mereka.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga merancang untuk mengusahakan sawah terbiar secara berskala besar seperti yang dilaksanakan Felcra bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja yang kebanyakan terdiri daripada warga tua.

Dalam ucapannya sebelum itu, Noh berkata Mardi juga sedang membangunkan jenis padi hibrid yang mampu memberi hasil 20 peratus lebih tinggi daripada biasa.

“Saya berharap jenis padi hibrid ini dapat diperkenalkan untuk penanaman di negara ini beberapa tahun lagi,” katanya.

You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Benih Padi Baru Dijangka Atasi Kerugian Hampir RM100 Juta Akibat ‘Padi Angin’”

  1. sukardi matt dali says:

    terimakasih kepada pihak yg berjaya mengeluarkan benih dan racun yang berkesan dlm mengawal padi angin…persoalannya kenapa harga terlalu mahal..jugak kenapa “right” utk market n produce benih ni tak beri kepada PPK…sama jugak dengan subsidi racun..kenapa diberi kepada syarikat lain..kenapa tak ke ppk….sembang2 kedai kopi …kebanyakan berpendapat…ada org2 tertentu yg mengaut untung atas angin..

Leave a Reply