SIARAN MEDIA : SAMBUTAN 40 TAHUN MARDI (1969 – 2009)

Sambutan 40 Tahun MARDI selama 2 hari akan bermula pada 16 hingga 17 Mac 2010 ini. Majlis ini akan dirasmikan oleh Y.B Datuk Seri Noh B. Hj. Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 16 Mac 2010 (Selasa), jam 2.30 petang di Dewan D, Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah ditubuhkan pada 28 Oktober 1969 oleh Y.A.B Tun Abdul Razak, Perdana Menteri pada ketika itu. Penubuhan MARDI adalah bagi tujuan pembangunan teknologi untuk kemajuan industri makanan, pertanian dan industri asas tani tempatan. Pendekatan dalam pembangunan teknologi MARDI adalah melalui inovasi terancang dalam memastikan teknologi yang dibangunkan mempunyai daya saing yang tinggi.

Tujuan sambutan ini adalah untuk menonjolkan pencapaian MARDI dalam tempoh empat dekad menjana, memindahkan dan pengkomersialan teknologi untuk pembangunan sektor pertanian negara.

Antara fokus pengisian program pameran adalah teknologi MARDI yang dihasilkan dan dikomersialkan serta digunapakai oleh kumpulan sasaran selama 40 tahun menjalankan penyelidikan. Selain itu, MARDI akan turut mempamerkan teknologi masa depan yang sedang dijalankan bagi memperkasakan industri pertanian negara.

Golongan sasar sambutan ini terdiri daripada golongan para petani, penternak dan nelayan yang ingin mengetahui teknologi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani terutamanya MARDI.

Antara aktiviti menarik untuk majlis perasmian ini adalah pelancaran buku MARDI Gemilang-Empat Dekad Penuh Tekad (1969-2009). Selain itu, pihak swasta, usahawan industri asas tani dan juga syarikat kerajaan (GLC) yang terlibat dengan pertanian akan turut mengambil bahagian. Ini dapat dilihat melalui sesi MoU MoA antara MARDI dengan empat buah syarikat yang bekerjasama dalam pelbagai aktiviti pengkomersilan iaitu MIMOS, BASF, Landgate dan MAFC.

Selain itu, MARDI turut memaparkan jalinan kerjasama dengan institusi pendidikan menerusi MoU dengan wakil UPSI dalam usaha menarik lebih ramai graduan-graduan menceburi bidang pertanian. Majlis ini akan juga menyaksikan pelancaran produk hasil jalinan kerjasama MARDI dengan CCM Fertilizers Division. Usahasama ini diwujudkan dengan pihak MARDI yang bertindak sebagai penjana teknologi manakala CCM Fertilizers sebagai rakan komersial dalam pengeluaran dan pemasaran produk. Projek ini dibiayai di bawah skim TechnoFund, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pameran sempena Majlis sambutan bertemakan MEMPERKAYAKAN PERTANIAN UNTUK 1MALAYSIA yang berlangsung di Dewan D, Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) ini adalah terbuka kepada umum dan boleh dikunjungi dari 9 pagi hingga 6 petang.

Aniadila Kamaruddin
Pegawai Penyelidik
Program Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat
MARDI Serdang
Tel    : 03-8943 7734/012-290 4822                                  Faks : 03-8948 3664

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply