Nelayan Perak Digalak Guna Peranti Penyisih Penyu

LUMUT, 12 Sept (Bernama) —  Nelayan di Perak digalak menggunakan Peranti Penyisih Penyu (TED) pada pukat tunda bagi mengelak penyu atau spesies ikan lain terperangkap bersama sampah dalam pukat berkenaan.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata pemasangan TED pada pukat tunda dapat memastikan sumber perikanan di negara ini sentiasa terjamin dan mampu menjamin pendapatan lebih baik kepada nelayan.

“Paling utama, kita mampu menyelamatkan penyu daripada terperangkap di dalam pukat tunda yang memasang TED,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Kenali Penyu, Sayangi Penyu’ anjuran Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari di sini, hari ini.

Ahamad Sabki berkata alat peranti TED yang dibangunkan Jabatan Perikanan itu telah diperakui pakar teknikal dari Amerika Syarikat dan melalui eksperimen,  100 peratus penyu yang diuji, berjaya keluar dari pukat tunda dalam tempoh kurang tiga minit.

“Kajian awal oleh penyelidik ke atas penggunaan alat TED membuktikan hasil tangkapan tidak terjejas bahkan lebih bersih,” katanya.

Menurut beliau, promosi penggunaan TED dilaksanakan sejak tahun 1980-an di Perak dan ia perlu digiatkan bagi menggalakkan lebih ramai nelayan menggunakan alat tersebut.

Yang turut hadir, Pengarah Perikanan Perak Sani Mohd Isa dan Pengurus Loji Janakuasa Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) Abdul Rahman Hussin.

– BERNAMA

FAMA P. Pinang Sasar 80 Peratus Peserta Program Azam Tani Jadi Usahawan

GELUGOR, 12 Sept (Bernama) — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada lebih 100 peserta Program Azam Tani di negeri itu menjadi usahawan berjaya.

Pengarah Fama negeri Habibah Sulaiman berkata sasaran itu realistik kerana kebanyakan peserta yang menerima bantuan sejak dua tahun lepas kini memperoleh pendapatan lebih baik.

“Tahun ini 50 peserta dipilih untuk menerima pelbagai peralatan membabitkan peruntukan berjumlah RM500,000,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan peralatan kepada empat penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Dua, di sini hari ini.

Katanya kesemua penerima ialah mereka yang berdaftar dengan e-Kasih. ”Antara peralatan tersebut ialah peti sejuk beku, periuk nasi, pelbagai peralatan memasak serta almari cermin dan banyak lagi mengikut kesesuaian perniagaan penerima,” katanya.

Siti Aishah Sheikh Abd Wahab, 43, yang berniaga nasi lemak di Sungai Dua di
sini sejak hampir 10 tahun, berkata beliau bersyukur kerana terpilih untuk
Program Azam Tani itu.

“Semua peralatan ini menjadikan tugas saya untuk menyedia dan memasak bahan  makanan lebih cepat berbanding sebelum ini yang terpaksa menggunakan perkakas masak lama dan tidak mencukupi,” katanya.

Bagi peniaga mi goreng, Ahmad Fauzi Muhamad, 54, yang menerima peralatan bernilai  RM9,000, beliau berhasrat membesarkan perniagaan yang diwarisi daripada keluarganya menggunakan peralatan terbabit.

– BERNAMA

Operasi Batal Lesen Nelayan Tempatan Pajak Bot Kepada Nelayan Asing Diperluas

PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) — Operasi mencari dan membatalkan lesen pengusaha bot nelayan tempatan yang memajak dan menyewakan bot mereka kepada nelayan Vietnam diperluas ke kawasan perairan negara, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan tegas itu dibuat pada mesyuarat dipengerusikannya  Isnin lepas dengan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan polis marin.

“Sebelum ini pemeriksaan dilakukan di pelabuhan-pelabuhan sahaja, tetapi selepas mesyuarat pada 9 September, kita telah buat keputusan pemeriksaan dilakukan di laut juga.

“Kita akan memeriksa sama ada kapal-kapal kita disewa atau dipajak. Kita tidak mahu kompromi, tidak ada ampunnya. Kita akan tarik balik lesen bot itu dan bot itu tidak boleh digunakan untuk penangkapan ikan lagi,” katanya.

Sehingga kini 270 lesen telah dibatal dan 41 lagi lesen dalam proses diambil tindakan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang ‘Konvensyen Kumpulan Inovatif Dan Kreatif’ anjuran kementerian itu di sini, Khamis.

Beliau berkata lesen pengusaha bot nelayan tempatan yang didapati memajak dan menyewakan bot mereka kepada nelayan Vietnam akan dibatal serta merta manakala nama mereka disenarai hitam.

Keputusan itu diambil ekoran insiden pergaduhan yang dikatakan berlaku antara nelayan pukat jerut tempatan dengan nelayan Vietnam pada 2 Sept lepas, kira-kira 30 batu nautika dari Kuala Pahang, Pahang, katanya.

Selain itu, katanya operasi rondaan juga telah ditingkatkan bagi memberkas penggunaan pukat tunda ganding yang merosakkan hidupan laut .

– BERNAMA

Kerajaan Cadang Tabung Bencana Untuk Peladang – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 12 Sept (Bernama) —  Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menimbang cadangan mewujudkan tabung bencana bagi membantu 820,000 anggota Pertubuhan Peladang Kebangsaan seluruh negara mendapatkan pampasan, sekiranya mengalami kerugian akibat bencana.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian kini sedang meneliti cadangan itu sebelum membentangkannya kepada kabinet untuk kelulusan.

“Pertubuhan mahu kementerian wujudkan satu skim insurans bagi memberi perlindungan dan membantu peladang yang menghadapi kerugian sekiranya tanaman mereka rosak akibat bencana.

“Tetapi untuk skim insurans ini pihak kementerian kurang bersetuju sebab terlalu banyak prosedur…dalam konteks ini kumpulan petani terutamanya, bukan dari golongan yang kaya, bila tanaman mereka rosak hari ini, esok seboleh-bolehnya mereka mahu pampasan diberikan dan ini yang kita susah nak dapat kalau guna insurans,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Selangor di sini, Khamis.

Beliau berkata pendekatan tabung bencana itu juga lebih fleksible kerana pampasan boleh diberikan mengikut jumlah kerugian yang ditanggung, walaupun sedikit.

“Kalau kita ambil skim insurans, pihak insurans akan menilai jumlah kerosakan tanaman yang ditanggung oleh peladang, sekiranya jumlah kerugian itu kecil dan tidak mencapai had yang ditetapkan, mereka (peladang) tidak akan mendapat sebarang pampasan.

“Jadi apabila ada tabung ini, kita boleh bayar pampasan kepada mereka tanpa mengehadkan sedikit atau banyak nilai kerugian itu,” katanya.

– BERNAMA

10 Buah Pasar Nelayan Dibina Di Sabah Tahun Depan – Ismail Sabri

TAWAU, 10 Sept (Bernama) — Sepuluh  buah pasar nelayan akan dibina di Sabah bermula tahun depan  bagi memudahkan golongan nelayan memasarkan sendiri hasil tangkapan mereka, kata Menteri Pertanian  dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pembinaan pasar nelayan bernilai RM200,000 setiap satu itu bertujuan  mengurangkan monopoli orang tengah yang mengaut keuntungan besar daripada titik peluh nelayan sekaligus membantu golongan itu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka.

Pembinaan pasar nelayan itu akan dilaksanakan tahun depan selepas mengenal pasti lokasinya, katanya kepada pemberita selepas menghadiri  majlis perjumpaan bersama Pengerusi  Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP), pemimpin peladang, nelayan dan usahawan Tekun di sini.

Menurut Ismail Sabri, langkah kerajaan berkenaan merupakan salah satu daripada tiga mekanisme pasaran ikan untuk memastikan kira-kira 60,000 nelayan di seluruh negara dapat menjual terus ikan kepada pembeli tanpa melalui orang tengah.

Katanya mekanisme yang dilaksanakan melalui strategi penguasaan rantaian nilai oleh persatuan nelayan sendiri, termasuk pembinaan pasar borong dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan itu boleh mengelakkan nelayan daripada terus tertindas.

Terdahulu  dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata melalui penguasaan rantaian nilai itu,  persatuan nelayan kawasan dan negeri akan memainkan  peranan mereka bermula daripada penyediaan air batu, kedai runcit, kerja membaiki bot sehingga kepada pasaran ikan.

Katanya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan memainkan peranan melatih anak-anak nelayan menjadi mekanik supaya injin bot-bot nelayan dapati dibaiki oleh mereka dan bukan orang  lain seperti sebelum ini.

Sementara itu, Ismail Sabri meluluskan pembinaan pejabat TEKUN kawasan Kalabakan serta-merta bagi kemudahan penduduk Kalabakan selain mengumumkan peningkatan pinjaman TEKUN  di Sabah  untuk tahun depan.

Katanya dengan peruntukan sebanyak RM33.7 juta tahun ini, Sabah kini menduduki tempat  kelima di seluruh negara dari segi jumlah peruntukan.

– BERNAMA